Tuesday, November 06, 2007

TENTANG SAJAK SUNYI MAKNA

pharmy53 said...

Adinda Yusuf seperti memahami riak rasa yg mengalun lautan fikir kekanda.Semoga adinda diberkati Ilahi.

TENTANG 5 SAJAK PENDEK YUSUF FANSURI

taufek18 said...

Yusuf, sajakmu kian pergi ke kolam makna namun kolam makna yang gagal dikesani ibarat sekadar mengocak air di permukaan yang luasnya terlalu terbentang. Batu yang dilempar itu tak timbul-timbul kerana dibelenggu keakuanmu yang tidak singgah ke mana-mana. Batu yang kita lemparkan itu harus singgah ke batang hidung semua orang dalam segenap ruang dan batas waktu. Waktu kita kian singkat Suf namun perjuangan mesti diteruskan.
Kita mesti menjerit tetapi jeritan dalam ruang gelap tidak melonjakkan kita. Aku seberapa boleh ingin melonjakkan dirimu ke ruang sastera yang setinggi mungkin tetapi ia mesti kau mulakan dengan kegagahan untuk bermain dgn akal dan sentimen yang terurus. Sayang sajak-sajakmu ini tidak diangkat dalam forum yang selayaknya dan diberi kelas yang ditentukan tarafnya. Namun jangan risau, kau serahkan segalanya pada aku, mana yang termampu aku lakukan, aku akan pergi ke arah itu walau dgn hanya titis peluh dan airmata yang terakhir.

12:40 PM

Delete
dahirisaini said...

agak lama xjenguk laman sahabat ini, apa khbar sahabat? sahabat ruang waktu yg trcicir dan sekolam prtemuan telah menemukan kita dalam kancah yg kurang memuaskan. apa yg pasti kata tuan hj taufek memang jelas dan telus. makna sajak sahabat memiliki sesuatu yg bernilai, tapi syg sahabat tak meletakkan setinggi cita kerana mungkin kekangan seketul batu yg harus dipecahkan menjagi ketulan kecil. apapun saya turut kagum dgn lontaran bahasa puisi sahabat. penuh nada sufi yg sukar diterka dgn mata kasat, tapi memrlukan renungan yg satu dan jitu. teruskan usaha sahabat. yg jelik dtg dari saya, yg baik dtg dari Allah. salam.

TENTANG MENYARUNG JUBAH UNDAN

Komentar tentang sajak "Menyarung Jubah Undan" di blog http://yusuffansuri.blogspot.com/


taufek18 said...

Tentang undan - A symbol of transformation of mind and idea where the words play it part to penetrate into writer"s hope and intentions. Swan reflect a sacred mind and sincere pledge where writer didnot expect much in anything but intially bless and pray for good doings. Semoga segalanya indah, bercaya dan berarti dalam hidupmu Suf.










dahirisaini said...

biarlah baju undan itu disarung dgn tertib dan penuh impian,
sesekali menjadi undan sungguh bermakna kerana ia juga ciptaan yang maha kuasa. selamat berkarya.

Saturday, April 28, 2007

TENTANG TEORI


Salam....

Terima kasih di atas refleksi saudara-saudara mengenai topik " Bukan Terlalu Peribadi" di dalam Laman Energi Cintakasih ini. Ramai yang cukup teruja dengan isu terbabit dan banyak pendapat-pendapat yang bernas telah diperturunkan. Hujah-hujah yang bijaksana daripada pemikir-pemikir sastera Darul Hana.

Dari Sdr Pena Alam, yang bijak dengan ketajaman simpulan bahasa. Ternyata bahasa melayu masih boleh bertahan untuk menyampaikan maksud yang cukup penting dan bermakna.

Dari Sdr Dr Ghostiq, yang punya diri yang cukup mistik. Bermain dengan rekayasa dan jungkir balik kata-kata. Yang boleh membaca retorika seorang pencuri.

Dari Sdr Armiza, yang bersemangat APi yang turut membakar kata-katanya sama sekali. Tempiasnya ibarat tsunami, mendabrak dalam kelembutan satu-satunya mawar dalam dikelilingi duri APi.

Dari Sdr/Sdri Citrasukma, penuh adab sopan, santun menutur bahasa, halus menyulam kata. Saran yang membina dan hujah yang membara. Nasihat berlapitkan sutera dalam perjalanan mencari rama-rama.

Dari Sdr. Roslan, yang lebih mengerti dan memahami dunia seni yang penuh hadangan dan halangan dari benua jauh. Sesekali hadir dengan ketelitian pemerhatian dan membuka huraian penuh makna.

Terharu dengan respon anda semua. Nun di sudut hati saya betapa anda semua cukup menyayangi dunia sastera Darul Hana. Keperihatinan anda adalah kunci laman ini. Masih ada ruang-ruang tertentu untuk berbincang dan membuka peluang untuk para seniman berinteraksi. Walaupun jurang ilmu berbeza tetapi anda semua mencintai BAHASA dan SASTERA, berbicara senada.

Kembali kepada lontaran tajuk Teori Bongkah Ais yang menjadi subjek kepada mesej saya. Bukan cuba berteori selaksa cuma cuba berkongsi ilmu seadanya di dada.

Bukan masalah artikel tersebut terlalu peribadi! Bukan masalah Sdr Zach2bach gagal menembusi arena kampungan! Bukan masalah unsur kekaguman Sdr Zach2bach terhadap hasil cipta makhluk Yusuf Fansuri! Bukan cuba mencanang bakat tak seberapa seorang mahluk sastera! Bukan masalah APi dengan DBP per se! Bukan masalah Yusuf Fansuri suka bermain balang kaca dan tidak mahu mengejar rama-rama! Bukan masalah ke media perdana atau tidak! Bukan isu melatah tak tentu arah, darah muda!

Sebelum menulis artikel tersebut, sdr Zach2bach telah bertemu dan berbincang dengan saya secara peribadi. Banyak isu yang berbangkit cuba diperhalusi terlebih dahulu. Pada awalnya saya cuba menegah beliau untuk menulis tentang saya. Setelah berbincang dan memperhalusi idea,akhir kami berdua bercakap senada dan cuba memahami situasi yang berlaku dalam dunia sastera Darul Hana. Saya membenarkan beliau menulis hanya mengenai isi karya saya. Kerana bagi saya, siapalah saya dalam dunia "popular" sastera Darul Hana. Banyak lagi tokoh-tokoh maha hebat dunia sastera bumi Darul Hana.

Sebelum menghantar ke penerbit kami berdua kembali duduk berdiskusi menghalusi isi kandungan artikel tersebut. Hasil perbincangan dan penghalusan, akhirnya saya merelakan apa yang terkandung dalam artikel tersebut. Kerelaan saya sebenarnya atas dasar saya menghormati pendapat Sdr Zac2bach yang membuat saya cukup terkedu dan terharu. Kenyataan beliau adalah: KALAU TAK ADA ORANG LAIN NAK MENULIS PASAL ENGKAU, BIALAH AKU SAJA YANG MENULIS PASAL ENGKAU. AKU BANGGA KERANA ANDA MENJADI SAHABAT SAYA! KALAU KAWAN TAK CAKAP PASAL KAWAN, SIAPA LAGI? Begitulah ceritanya....

Dan bukan juga masalah sdr Zach2bach seorang jaguh kampung! Nyata beliau punya keistimewaan tersendiri dengan terbukti artikel-artikel beliau berjaya menembusi PENTAS, malah cerpen pertama beliau terbit dalam antologi Bicara Tanpa Suara terbitan KekWWA tanah semenanjung. Juga kita sedia maklum beliau merupakan penyumbang atau kolumnis setiap Ahad, Utusan Borneo di kampung Darul Hana.

Apa yang sdr/sdri ulas sebelum ini hanyalah puncak bongkah ais sahaja. Ada isu yang lebih besar dari apa yang sdr/sdr perturunkan. Jika sahabat-sahabat cukup teliti dan cuba menelaah sejarah sastera Darul Hana, anda mungkin akan menemui pertanda-pertanda tertentu mengenai kewujudan masalah yang lebih besar dalam tanah sastera Darul Hana. Walaupun di atas tanah kita bisa mengejar rama-rama atau suka bermain balang kaca, rama-rama itu hanyalah ilusi yang dilukis oleh pelukis-pelukis halimunan dan balang kaca hanya menunggu masa untuk pecah terhempas ke lantai.

Isu artikel tersebut hanyalah satu contoh kecil berbanding banyak contoh-contoh aneh yang lain yang lebih besar. Alasan tidak menyiarkan artikel tersebut kerana terlalu peribadi adalah "rubbish"! Tidak pernah kita terfikir bahawa kemungkinan sdr Zach2bach digam oleh agensi terbabit sepertimana yang berlaku dalam industri hiburan. Saya tidak terkejut jika ini berlaku kerana saya pernah berkongsi cerita bahawa ruangan sastera dan bahasa terlalu kurang penyumbang yang berminat. Tidakkah mungkin ramai penulis sudah tawar hati untuk menghantar artikel ke agensi terbabit kerana ada unsur-unsur peribadi.

Malah hampir berlaku perkara yang memalukan dalam arena sastera Darul Hana, sebuah artikel yang cuba mengaitkan laman Sastera Sarawak sebagai laman penyebar fitnah, hampir-hampir tersiar di dalam ruangan setiap hari Rabu. Entah bagaimana artikel yang nyata cuba menyerang secara peribadi laman sastera Sarawak boleh terlepas dari pandangan ketua editor? Namun tindakan manusia prihatin dan tinggi semangat kemanusiaan berjaya menyelamatkan keadaan agar tidak menjadi lebih rumit. Sehingga sekarang manusia tersebut masih anonimus!

Mungkin sdr Dahiri mempunyai pengalaman tersendiri! Lebih-lebih lagi berjaya memenangi hadiah drama baru-baru ini. Anda mungkin lebih mengerti? Mungkin juga sdr Roslan Jomel?

Nampaknya saya terlalu banyak menitip kata, mungkin juga terlanjur bahasa, mungkin juga cuba bersenda atau tidakkah termimpi oleh kita untuk mengusulkan sebuah Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kemunduran Bahasa Melayu di Malaysia?

Saya akhir dengan sebuah puisi pendek:

Sebuah Sajak

Yusuf Fansuri

TEORI BONGKAH AIS

tenggelamnya TITANIC

bukan kerana agam binaannya

berpunca segala hanya

dari seketul ais cuma

di dalam lautan terbenam

sejarah tak pernah berdusta

hanya manusia asalnya alpa

angkuh tinggi menjulang hasta

akhirnya tunduk menyembah

SANG PENGUASA!

Wallahualam....


DINASOUR SASTERA: REFLEKSI SDR. ROSLAN JOMEL

Salam.

Sebaik sahaja saya memegang buku Labryinth and Others Stories
karangan Jorge Luis Borges di dalam Bordes, Times Square. Saya
berlegar2 mencari bangku duduk. Hati saya senipis gelas. Dan fikiran
saya mudah tersentuh sebaik sahaja memikirkan apa yang telah ditulis
oleh sdr Yusuf sebagai jawabannya untuk menyimpul beberapa pandangan
rakan2 sastera di dalam laman SS. Jarang benar kita berhadapan
dengan sikap berterus-terang seperti yang telah dilakukan oleh sdr
Yusuf demi memajukan penulisan Sastera di Sarawak. Jawaban sdr Yusuf
nyaring. Dan kita sebagai rakan2 sastera di laman ini, tidak harus
menutup muka kerana berasa malu. Pendedahan sdr Yusuf adalah lambang
keberanian dan kebebasan pengucapan sasterawan dari generasi baharu.
Biarlah apa yang terpapar itu buruk kelihatan. Supaya kita sedar,
hidup itu sendiri tidaklah sebersih kertas A4.

Tanpa perlu berpura-pura, sdr Yusuf memecah blok kaca hitam.
Beberapa kepingan kacanya menikam ke dada kita. Inilah kenyataannya.
Blok kaca yang didirikan oleh tangan halimunan untuk mengurung
kreativiti subur. PENJARA kaca hitam itulah yang harus SEGERA kita
robohkan!Persoalan asas yang dibawa sdr Yusuf bukan kecil. Tetapi
memberat ke dalam. Bukan sekadar yang kelihatan di permukaan,
seperti yang ingin sdr Yusuf maksudkan pada imej bongkah ais. Apa
yang buruk selalunya terbenam di belakang dengan permainan
halimunannya. Itulah punca hambatan yang ingin dimaklum oleh sdr
Yusuf. Digambarkan penuh sinis oleh sdr Yusuf sebagai menyerupai
bongkah ais yang terapung cantik kebiru-biruan. Di bawah sedar, Sdr
Yusuf mengajak kita melihat dengan mata dalaman akan imej bongkah
ais tersebut.

Saya merenung sepintas lalu di rak buku. Memandang dengan sepasang
mata yang sayu ke beberapa kulit buku novel2 antarbangsa tulisan
seperti Kiran Desai, Jhumpa lahiri, Paulo Coelho, JM Coetzee mahu
pun Margaret Artwood. Apa yang telah dilalui oleh sdr Yusuf telah
terlebih dahulu pernah dirasai oleh saya. Kepada isu sebenarnya
Mengapakah Wujud Dinasour Sastera di Sarawak?

Saya mahu mengetepikan diri saya daripada dicengkam kuku Dinasour
tersebut. Kita biarkan Dinasour itu reput di dalam kurungan kaca
hitam binaannya sendiri. Lama kelamaan kewujudannya akan dilupai
oleh kebijaksaan kita. Pada suatu masa nanti, kita akan melihat
tinggalan tulangnya disusun dalam kurungan kaca dengan jelas. Hidup
itu luas. Bukan di hujung perintah manusia2 lain. Saya ingin hidup
positif. Membebaskan diri daripada kepungan mentaliti sang Dinasour
purba. Kejayaan sdr Dahiri sebagai penulis paling berjaya dari
Sarawak ke peringkat kebangsaan, memberi contoh terkini buat rakan2
penulis. Sudah tentu, kita tidak mahu membiarkan sdr Dahiri berjuang
sendirian di medan sastera kebangsaan.

Kita tidak perlu mencucuk Dinasour yang tidak kelihatan dengan
lembing. Perbuatan sebegitu hanya menampakkan kemarahan. Tetapi
dengan bakat dan kehebatan karya kita. Inilah senjata intelektual
akan kita tunjukkan ke muka Dinasour yang bersembunyi di dalam
kurungan kaca hitam binaannya itu. Saya amat percaya, Dinasour itu
akan muncul dan mengalah dengan muka menahan malu. Dunia itu luas
dan manusia2nya pelbagai. Menolak kepelbagai pemikiran adalah serupa
kita menolak realiti hidup itu sendiri.

Sekadar pandangan dari rakan pengunjung laman SS.


Friday, March 16, 2007

TENTANG CINTA SI PEMAIN PEDANG


Mendingin Realiti Dunia Pada Celahan Diksi Puitis
Oleh Sdr. Roslan Jomel


Buku "Cinta Si Pemain Pedang" selamat sampai ke tangan saya pada
pagi 12 Mac ketika saya masih dibebani pembacaan halaman2 terakhir
buku "Kewujudan Negara Israel - Suatu Kajian Tentang Gerakan Politik
Zionisme" tulisan yang amat bermakna oleh cendiakawan muslim
Perancis yang bernama Roger Garaudy. Tetapi sebelum itu, saya sudah
mula diharukan oleh sebuah buku "Konflik Palestin & Israel" karangan
Maszlee Malik, pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh UIAM, yang
amat obses dengan isu2 Palestin dan ditulis atas kesedaran semangat
jihad, sehinggakan saya merasa tempiasnya ke muka. Menghayati
tulisan informatif kedua2 buah buku tersebut adalah suatu pengalaman
yang mendera dan menyiksa dalaman saya sebagai pembaca dari dunia
kontemporer Malaysia. Pada ketika masyarakat dunia pelbagai jenis
agama termasuk islam sekadar menjeling sebelah mata kepada
perjuangan akidah di Baitulmuqadis, pada ketika rejim Zionis kian
menelanjang maruah kaum muslimin Palestin, pada ketika saya
merasakan mengapa saya berdiri di bumi Malaysia ini sebagai lelaki
pesimis tanpa revolusi minda dengan hidup disalut plastik.., tiba2
sdr Yusuf mententeramkan pandangan chaos ala babarian kehidupan
semasa ini melalui buku antologi puisi2 yang menyurat dengung
cintanya. Serabut peperangan genosid, politik perkauman tolol,
berita kematian mangsa gempa bumi dan pencerobohan haram tentera
syaitan Zionisme di masjid Al-Aqsa yang senantiasa melekap pada
skrin tv mahupun akhbar2, mula beransur2 diketepikan buat seketika
dalam pandangan mata saya, agar dapatlah saya sedia meresapi diri
pada celahan diksi2 puitis puisi sdr Yusuf yang redup di balik buku
terbitan kumpulan API itu. Dan buku ini adalah karya ke empatnya
setakat ini, yang membayangkan betapa ghairahnya sdr Yusuf mengumpul
dan mengusahakan koleksi puisi2nya ke dalam bentuk buku secara bebas
yang sudah tentu tanpa mendapat bayaran royalti kecuali
mengembalikan modalnya dan keuntungannya melalui jualan langsung di
laman s_s ini sendiri. Berbeza dengan buku2 hasil terbitan DBP, Alaf
21, Pustaka Cipta dll nama penerbitan utama di Malaysia yang juga
akan membawa penilaian hadiah sastera, kelazimannya.

Ada apa dengan sdr Yusuf? Penyair muda yang mendapat penghargaan
HPPS genre puisi tahun 2004 melalui puisinya yang
bertajuk "Ramadhan" ini telah membentang muka surat baharu
pengucapan bernada cinta kepada keseluruhan buku "Cinta Si Pemain
Pedang" (yang terlebih dahulu menjadi tajuk cerpen sdr SM Zakir).
Tetapi baris2 cinta yang disusun sdr Yusuf bukan semudah puisi2
cinta ciptaan pelajar sekolah atau yang terselit pada majalah
hiburan remaja di pasaran. Diksi yang bergeser menerusi pembentukan
puisi2nya telah mengalami proses pengkristalan kreatif dalaman
penyairnya sendiri. Biarlah saya berterus-terang, bahawa saya
bukanlah terlalu didedahkan oleh tema penulisan seakrab ini, maka,
saya perlu membalik2kan semula halaman2 buku puisi karangan Pablo
Neruda, supaya saya menemui idea perbezaan, yang akan dibentuk
menjadi terusan untuk menghampiri pemikiran sdr Yusuf. Memanglah
benar, jauh perutusan dan perbezaan kandungan ke dua2 buah buku
tersebut, dan saya bukanlah berniat membuat perbandingan yang tidak
adil antara kerja seniman yang melanda dunia dalaman sdr Yusuf
dengan tokoh sasterawan terkemuka dari Amerika Latin itu. Sebagai
pembaca, saya hanya ingin menikmati/menganalisis kerja penulisan itu
tanpa memperdulikan siapa nama, negara atau latar belakang
penulisnya pada fasa pertama pembacaan. Biarlah puisi itu berbicara
semulajadi kepada saya sebagai pembacanya seperti mana pengalaman
saya menonton filem2 asing di luar arus Hollywood. Tidak pernah
perkara2 seperti siapa penulis atau bahasa dialog dalam filem
menjadi penghalang kepada audiensnya. Hasil seni yang baik akan
melangkau sempadan geografi dan penulis/pembikinnya bukan lagi
dimiliki negaranya tetapi diserahkan kepada audiens sedunia.

Berbalik kepada penulis buku "Cinta Si Pemain Pedang" yang ditulis
sehalus mungkin oleh sdr Yusuf, saya didatangi pertanyaan: apakah
takrifan cinta kepada sdr Yusuf melalui puisi2nya turut mengepit
maksud lain yang tersembunyi nan mengalir di bawah permukaan awal
diksi puisi2nya? Adakah kandungan pada puisi2 cintanya yang
dipendek/dipadat oleh keratan proses menurunkan diksi2nya, semata2
pengucapan perasaan hati dari kekasih kepada kekasih seperti
tanggapan popular audiens di luar sana? Menurut kenyataan Rahman
Shaari apabila membicarakan kecenderungan beberapa penyair yang
menulis puisi pendek, penyair tersebut berupaya mengelak daripada
melakukan kesilapan ketara berbanding penyair2 yang menulis rangkap
puisi lebih daripada 6 rangkap, contohnya. Benarkah? Biarkan soalan
itu mati di sini. Saya bukanlah pengkritik bertauliah seperti yang
dimiliki Awg Azman, contohnya, maka, tulisan ringkas ini tidak
bertujuan akademik yang akan menilai kerja penulisan di dalam
buku "Cinta Si Pemain Pedang" dengan penuh terperinci mengikut
standard ilmiah kesusasteraan. Saya serahkan kerja rumit itu kepada
individu yang bertauliah.

Oleh kerana pengalaman pembacaan saya dipandu melalui buku2 tulisan
Muhammad Hj Salleh, Baha Zain, A. Latif Mohidin, T. Alias Taib,
Rahimidin Zahari, Zurunah Hassan dan Rahman Shaari, maka, kehadiran
buku sdr Yusuf yang penuh bersemangat indie pada cara penerbitanya
setakat ini, ia bukanlah segenggam kertas berklim kosong. Galaksi
pembacaan sdr Yusuf sudah tentu luas dan pelbagai kerana apa yang
saya lihat pada rautan bahasa yang menjadi kunci kekuatan puisi2nya,
amat sulit dan sungguh menuntut ketelitian etika penulisannya. Saya
tidak percaya kepada karya spontan, tidaklah semudah itu kerja seni
diselesaikan tanpa pengulangan proses pengeditan pada sentuhan
pertamanya. Rutin padam memadam kemudian ditulis baharu setelah
dirasa puas menatap manuskrip di atas meja, akan menyiksa psikologi
sang penulis. Jika kesempurnaan dicari, azab proses kreatifnya
bertambah berat dan mencabar kemampuan diri. Sebagai pembaca, saya
memilih puisi "Di Puncak Nyala" sebagai hasil kerja puisi sdr Yusuf
yang sungguh memikat dan misterius kesannya, sehingga mengingatkan
saya kepada puisi A latif Mohidin yang bertajuk "Pohon Cemara" yang
amat terkenal kerana keluasan maknanya walaupun bersifat ekonomis
penyampaiannya. Saya amat yakin bahawa eksperimen yang dilakukan sdr
Yusuf telah menemui kejayaannya tetapi saya tidak mudah berpuas hati
dengan beberapa buah puisi lain seperti "Mengingatimu" kerana agak
sentimental dan nampak mudah bagi penulis berbakat ini. Tetapi jika
pembaca ingin mengalami detik kedalaman jiwa, sebuah puisi yang
telah diperah dengan sepenuh hati, maka, lahirlah "Pada Detik Aku
Cuba Melapazkan". Saya tidak perlu menceritakan betapa payahnya
sebuah puisi sepedih itu datang dari dasar kreatif sdr Yusuf,
kerana, seperti kenyataan Muhammmad Hj Salleh, " sebahagian bakat
seseorang itu datangnya daripada peribadi" dan keistemewaan kerja
seninya. Seterusnya Muhammad Hj Salleh menambah " sudah sampai
masanya kita lebih melihat sastera kita sebagai suatu bidang yang
serius dan hanya boleh dimasuki oleh orang yang berbakat dan
berkemampuan". Dan bagi saya, bakat sdr Yusuf bukan dalam bentuk
palsu. Pada puisi yang mantap susunan rentak dan diksinya itu,
pergelutan cinta telah dilukis dengan mata pena yang tajam dan
berdesing jauh kesannya ke dalam sanubari pembaca. Jelaslah kepada
saya sebagai pembaca, bahawa bahasa yang baik itu adalah bahasa yang
dipilih dengan susah payah daripada perbendaharaan kata yang besar.
Bahasa adalah alat khas untuk melukis liku perasaan dan persoalan
yang ingin disampaikan penyairnya secara konkrit, terperinci, halus
serta kaya dengan emosi fikirannya. Sdr Yusuf menyedari eksperimen
dengan gaya menyusun beberapa diksinya secara terbalik tetapi amat
berkesan dan teknik ini dilakukan oleh kepekaan deria senimannya.
Tugas penyair bukan sahaja mengelak klise, tetapi mencipta cara2
baharu untuk menyatakan pengalaman tersendiri. Disebabkan itulah,
saya menghormati bakat asli dan ketekunan sdr Yusuf menyumbang hasil
kerja2 seninya.

Buku yang mengganggu pembacaan non fiksyen saya ini, wajar diberi
perhatian, kerana bermula dari usaha sdr Yusuf menerbitkan buku ini,
kosmo sastera Sarawak bukan hanya semata2 memberi tumpuan kepada
buku2 terbitan dbp, seperti yang kita maklumi. Ada penulis yang
terasing, berbakat dan memiliki keunikan, kebiasaannya terlindung di
balik cahaya lampu2 mentol di podium kebangsaan. Memuatkan 30 buah
puisi, buku ini bukan sekadar berbicara dalam kalungan irama cinta
tetapi barangkali ada sesuatu selain kata2 harafiahnya, cuba
disembunyikan oleh pemandangan konvensional ke atas puisi2 yang
membawa persoalan cinta. Tidakkah mungkin nada cinta itu hanya
jambatan romantis sebagai penghubung falsafah dalaman penyairnya?
Bukankah puisi "Di Puncak Nyala" agak jauh mengheret maksud
tersiratnya? Dan itulah puisi yang berdiri menjadi "puncak" kepada
puisi2 lain yang turut menyokong erti dan jiwa seniman sdr Yusuf.
Selebihnya, saya serahkan kepada pembaca2 budiman untuk menghayati
detik kepuitisan diksi puisi dalam buku "Cinta Si Pemain Pedang"
ini.

Sunday, January 14, 2007

TENTANG YUSUF OLEH PENAGUNUNG

DUA MUDA DALAM WAJAH KATA BERBEZA.

Akhirnya, kita pun bertolak daripada ‘mencari kelukaan’ kepada hal-ehwal yang lebih serius lagi. Minggu kebelakangan ini saya tergugah membaca beberapa gugus sajak penyair muda, yang antaranya ialah Jaafar Hamdan dan Yusuf Fansuri. Kedua-dua penyair ini mempunyai kekuatan latar kepengarangan mahu pun pergerakan yang memberangsangkan. Kedua-duanya pernah menerima anugerah dalam pelbagai kategori. Kedua-duanya merupakan dalang kepada pergerakan kegiatan berpersatuan.

Jaafar ialah Setiausaha Persatuan Karyawan Sarawak [ PEKASA ], Yusuf ialah penyelaras laman maya ‘sastera_sarawak’ di samping peneraju Angkatan Pengkarya Indie [ API ] . Yusuf pula telah muncul dengan beberapa mini antologinya; ‘Edan Waktu Kasmaran’, ‘Dari Kekasih Kepada Kekasih’ dan ‘Kembali Kepada Tuhan’

Cuma Jaafar masih belum ada antologi persendirian tetapi sajaknya banyak disiarkan di dalam antologi bersama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Untuk tujuan kritikan ini saya telah mengenal pasti beberapa buah sajak terbaik daripada kedua-dua tokoh muda ini untuk dikemukakan iaitu ‘Rumah Abadi’ [ Jaafar ] dan ‘Peluru Berahi’ [ Yusuf ] . Justeru untuk tujuan ini, saya suka meletakkan asas kritikan saya kepada petikan ini : “ nilai estetik kata di dalam sajak itu biasanya merujuk kepada intuisi atau kepekaan dan pengalaman seorang penyair sehingga mampu menciptakan pengertian kata dalam dimensinya yang baru “Titon Rahmawan [ Galeri Karya, Cybersastra ]

Sajak Jaafar ‘Rumah Abadi’ merupakan satu contoh pembangunan kata yang longgar. Biarpun Jaafar mempunyai wacana murni yang menyentuh kesedaran beragamanya, namun penyair ini nampaknya lebih mengutamakan gagasan daripada pembinaan kata [ baca makna ] yang tinggi keupayaan sasteranya.

Bangunlah dari tiang yang asas

pada setiap lima waktu yang tepu

dengan akal dan iman berpanjangan

Membaca sepintas lalu, saya terkesan akan kelonggaran ekspresi Jaafar yang masih terikat kepada sistem bahasa yang ketat. Beliau tidak berusaha untuk membebaskan kata menjalankan fungsi puitisnya menyalurkan makna. Barangkali integriti sebagai seorang pegawai bahasa amat menbal pada beliau. Keberjayaan Jaafar hanya berhasil menggambarkan model dunia nyata yang mempengaruhi dan menugasai kehidupan individu dan masyarakat. Apabila mengabaikan kekuatan kata sebagai esensi sebuah sajak, pengucapan beliau hampir-hampir menyamai percakapan sehari-hari [ denotative ] sehingga membangkitkan kesan realiti yang terlalu naïf, terlalu biasa seperti laporan di dalam sebuah akhbar

Apatah lagi jika saya menyusun kembali kata-kata sajak ini seperti sebuah prosa akan nampaklah cirri denotative itu : Kemudian lindungkanlah siang dan suram malam yang hening dengan atap kesabaran untuk mendidik nafsu yang keliru kerana dindingnya nanti perlu berkat dari nilai zakat dan sedekah suci agar tingkap dan pintu sentiasa redha terbuka hingga mengerti untuk diuji qada dan qadar yang tidak pernah melupai janji takdir ketika bermukim di sini.

Sistem sastera berbeza dengan sistem bahasa. Menurut kritikus tersohor A’ Teeuw, “sistem sastera merupakan sebuah dunia yang sangat kompleks dan bersusun-susun; puisi romantis Inggeris merupakan dunia rekaan khas, demikian pula drama klasik Yunani dan puisi Pujangga Baru.” Justeru Jaafar sebagai penyair muda perlu mengelak daripada pemakaian kata tatabahasa aktif-pasif yang klise dan lain-lain, sebaliknya menghalakan bahtera kepenyairannya ke lembah sastera yang tulen

Pendeknya, sebagai bahan bacaan, ‘Rumah Abadi’ mudah difahami dan dimengerti dengan penggunaan kata biasa, tanpa perlu menelusuri bait demi bait mencari makna tersirat. Namun sebagai bahan perenungan sajak ini masih jauh jangkauan keabadiannya. Perlu dinyatakan di sini

‘Rumah Abadi’ dipilih hanya kerana ia telah disiarkan dua kali iaitu didalam antologi ‘Kota Asas Tamadun Bangsa’ [ 2002 ] dan antologi Dialog Borneo-Kalimantan ‘Nyanyian Pulau-pulau’ [ 2004 ] Sudah tentu ada keistimewaannya.

Sajak ialah himpunan kata terbaik ! Begitulah pandangan majoriti yang sering kedengaran. Namun pilihan kata terbaik belum menjamin nilai estetika terbaik. Sang Penyair yang mewah dengan kosa kata tetapi tanpa intuisi atau gerak hati mahupun imajinasi yang tinggi dan luhur, belum tentu menghasilkan sebuah sajak yang tinggi nilai sasteranya.

Dalam konteks ini, saya membawa pula pilihan karyawan kedua; Yusuf dengan sajak ‘Peluru Berahi’nya. Unsur personifikasi pada judul sajak ini seolah-olah mempunyai daya tarikan kuat terhadap pembaca untuk terus mengikuti maksud penyair. Saya perturunkan keseluruhan sajak ini dalam bentuknya yang asli.

Berahi Peluru Hidup !

membenam

ke dalam

aku !

Cedera

Yang

Bahagia

Sajak yang pendek tetapi segar pengucapannya. Ia pendek [ jumlah kata cuma 10 ] tetapi mampu membuka ruang perenungan yang tinggi. Gagasan yang dipilih oleh Yusuf adalah sama dengan Jaafar iaitu kesedaran beragama. Namun kaedah pengucapan Yusuf jauh berbeza. Yusuf nampaknya lebih mempunyai kesedaran untuk pemilihan kata yang intensif dengan tidak mengabaikan wacana yang telah direncanakan sedemikian rupa supaya kelihatan melakukan penyimpangan atau deotomatisasi – [ yang biasa, yang normal, yang automatik dibuang, yang dipakai harus khas, aneh, menyimpang, luar biasa ; Victor Shklovsky , Erlich ]

Beliau peka dengan unsur-unsur fizik sastera seperti sistem bunyi [ asonansi dan konsonan ], bentuk tifografi [ penggunaan huruf-huruf besar pada beberapa kata ], intonasi [ penggunaan kata seru ] dan sebagainya. Perkara sebegini jika diolah dengan cermat akan menghasilkan hubungan kata-makna yang indah dan menjadi. Di samping itu, pengaturan kalimat seperti bentuk tubuh wanita cuba memberi gambaran awal tentang sjaak ini. Sekali imbas, kita akan terhibur hanya dengan memerhati keletah sajak ini menampilkan diri.

Namun apa yang lebih penting ialah keberadaan sajak ini sebagai ‘sajak dengan kata yang minima tetapi menawarkan makna yang maksima’ Beliau tidak berbicara yang berlebihan, yang berlebihan dianggap akan merencatkan sari sajak ini. Kata pilihannya dibentuk menjadi alat yang berkesan untuk menyampaikan kod sastera bahawa sesuatu yang biasa telah disampaikan secara luar biasa .

Kebangkitan beragama Yusuf memerlukan daya perenungan yang mencakupi karya sastera yang lain juga. Dalam konteks ini Yusuf [ samada secara sedar ataupun tidak ] telah berhasil mengungkap unsur penting sastera iaitu intertekstualiti – unsur pengaruh karya-karya lain dan dimasukkan ke dalam karya sedia ada. Ini menjadikan karya Yusuf sebagai sebuah karya yang terbuka. [ bertentangan dengan pendekatan ‘structuralist ‘ yang menganggap sesebuah teks itu “ as discrete, closed-off entities and to focus exclusively on internal structures.” [ Daniel Chandler, Semiotics For Beginners ]

Bertitik-tolak dari sinilah saya mengesani pengaruh ‘The Mathnawi { The Definition of Love ] karya Mevlana Calaledin-I Rumi didalam sajak ‘Peluru Hidup’ ini. Namun saya tidak mudah untuk mengklasifikasikan sajak penyair API ini sebagai khazanah sufisme. Masih terlalu awal untuk itu. Kudos ! Ini adalah percubaan yang bersemangat daripada seseorang yang masih muda usia pengkaryaanya. Penyair turut melanggar tatacara dengan memperkenalkan sistem tanda yang peribadi sifatnya. Lihat saja penggunaan tanda ‘peluru hidup’ yang mungkin agak menyukarkan pembaca untuk cepat menangkap erti. Jika penyair menggunakan tanda ‘panah arjuna’ mungkin akan lebih mudah untuk diterjemahkan sebagai ‘cinta’.

Cinta tidak lagi dikaitkan dengan busar dan panah warisan Dewa Eros itu, tetapi telah digantikan dengan dengan senapang dan peluru. Dengan kata lain, di dalam sajak itu Yusuf cuba menjelaskan bahawa beliau telah ditembak cinta. Tetapi Cinta siapa ?

Hal lain akan terjawab apabila kita menelaah penggunaan huruf-huruf besar pada beberapa kata yang seperti mengisyaratkan terdapatnya bobot makna yang luar biasa. [ lihat pada ungkapan ‘Peluru Berahi Hidup’ dan ‘Cedera Yang Bahagia’ ] . Keadaan ‘kecederaan yang memberikan kebahagian’ sesungguhnya bersifat absurd [ tidak masuk akal ] dan pembaca sudah tentu teruja pemikirannya. Kalimat ‘Cedera Yang Bahagia’ itu memberi sensasi perasaan yang menyeramkan, sensasi yang misterius, sensasi yang agak sulit untuk difahami. Sensasi yang di luar norma biasa. Sensasi itu telahpun diungkapkan oleh Rumi seribu tahun yang lalu sebagai Cinta :

A true lover is proved by his pain of heart

No sickness is there like sickness of heart

The lover’s ailment is different from all ailments

Love is the astrolabe of God’s mysteries

Sajak ‘Peluru Hidup’ ialah satu contoh pengkaryaan yang menurut Herbert Read ‘predominantly intuitive, imaginative and synthetic’ berbeza dengan sajak ‘Rumah Abadi’ yang juga satu contoh pengerjaan karya sastera yang kurang berbobot. Di pihak yang satu, kata kembali menjadi raja kepada makna. Di pihak yang satu lagi, gagasan merebut status sebagai yang berkuasa.

Sayugia saya sampai pada satu rumusan bahawa kata adalah segala-galanya. Sebetulnya kiita mempunyai banyak penyair yang terlalu sibuk dengan fikiran yakni gagasan tetapi lupa bahawa dia sebenarnya sedang menulis sajak. Oleh itu sebahagian besar sajak kita tidak mempunyai daya ‘phenomenal’ . Kata menjadi penghubung [ a linking bridge ] diantara pengkarya dan pembaca dan keberkesanan kata menyampaikan gagasan akan mampu meninggalkan kesan rasa dan daya tanggapan yang jauh mendalam.

Selanjutnya saya harus meletakkan nilai pada kedua-dua karya tersebut. Putu Arya Tirtawirya mendefinisikan, ‘ sajak adalah puisi tetapi puisi belum tentu sajak.” ‘Rumah Abadi’ adalah contoh puisi yang mengungkapkan makna secara luaran samar dengan maksud tersirat dan kata cenderung kepada erti yang konotatif. dan diterima umum. Sedengkan ‘Peluru Hidup’ ialah contoh sajak yang merupakan “ cermin tempat manusia berkaca, tampak sosok dirinya dalam masa lalu, masa kini dan masa depan.”

Sajak ialah apa yang tersirat; himpunan kata yang membawa pembaca ke alam lain iaitu alam sastera sebagai dunia ide yang wujud didalam manusia [ Plato ].Sebagai pengakhiran, izinkan saya menamatkan kritikan ini dengan sebuah sajak daripada penyair besar Asia Tenggara, Sitor Sitomorang berjudul ‘ Malam Lebaran’ :

bulan di atas kuburan.

~ tamat ~

u/p Artikel ini telah diemelkan oleh anonymous Sdr PENAGUNUNG: Satu identiti misteri dalam sastera Negeri Sarawak

TENTANG PELURU:PLOT KETERBALIKAN OLEH ROSLAN JOMEL

Sebuah Karya
Yusuf Fansuri

PELURU:PLOT KETERBALIKAN


Tatkala takbir memuji

segala kebesaran di langit

dan di bumi, kita dikejutkan

dengan sebuah berita tentang

kembalinya seorang manusia

ke ribaan tuhan dengan cara

keadilan songsang.Seterusnya

disergah tanda tanya antara

jawapan penuh ilusi dan realiti

cuba menyusun silang kata

untuk mencipta perkataan

demi melengkapkan kitab baru.


Kita terbawa-bawa dengan dalih

dan muslihat kabal-kabal orientalis

menterjemah makna dan simbolis

yang hakikatnya sudah lama tahu

tafsir tersirat dan tersurat. Dari dulu

hingga detik kini masih melayan

imej wayangan yang seringkali jadi

siaran ulangan di layar fikiran.


Acapkali kita cuba dikelirukan

dengan fakta plot keterbalikan.

Acapkali kita cuba disogokkan

dengan nombor-nombor kabur.

Acapkali kita juga gagal menyelusuri

simpang siur sejarah masa lalu

Acapkali kita juga bebal mengunyah

sebaliknya memilih mengemam jadam.


Saat kita memerlu ikatan padu

dalam kesatuan jitu kita masih

memisah antara Ahlil Sunnah dan Syiah

dan segera lupa pada empunya

yang sepatutnya disembah!


sajak dipetik dari blog:http://www.puisifansuri.blogspot.com






















ULASAN OLEH SDR ROSLAN JOMEL
Peluru: Plot Keterbalikan, Menerbangkan teks puisi daripada persembahan kata2.


Sebagai penulis muda yang pelbagai jurus pembacaannya, pemerhatian
sdr Yusuf mengajak pembaca menoleh leher ke blok wilayah Arab yang
sentiasa digelorakan oleh seribu konflik. Tidak pernah aman dunia
ini nampaknya. Dan itulah realiti. Walaupun penyair tidak pernah
ditugaskan untuk melangkah ke hadapan menyarung but tinggi dengan
mengepit beberapa helai manuskrip puisi sebagai pengaman atau
mengibarkan kain putih ke muka pihak yang bertentangan, tetapi
naluri kemanusiaan dan kepekaan seorang seniman, membawa kesedaran
yang lain bentuknya. Senyap dan merayap dengan renungan hidup,
berlawanan dengan keperitan di badan yang ditembak oleh manusia2nya
sendiri. Sdr Yusuf membawa kaca jernih untuk kita sebagai pembaca
menilai bahawa hidup ini untuk apa selain berbunuhan? Dan kerana
puisi itu sendiri juga tidak akan mengubah dunia ini, sdr Yusuf
mengejek dengan sinikal akan selubung gelap yang membaluti dua puak
mazhab di dalam negara yang sama. Mengapa islam harus dipenjarakan
oleh pegangan yang mentradisi ini sedangkan Tuhan yang disembah
adalah Tuhan yang sama?. Itulah persoalan besar yang sdr Yusuf
tinggalkan kepada pembaca2 puisinya. Jadi, apakah yang kita harap
daripada baris2 puisi ketika dentuman peperangan melintas di kaca
skrin televisyen kita? Sdr Yusuf mengerti dan dia memilih baris
puisi sebagai penyataan seorang seniman dan kesedaran halus
kemanusiaannya untuk menyindir dunia dan manusia2 modennya.

Tetapi sdr Yusuf memulai baris puisinya dengan keputusan untuk

menjatuhkan hukuman gantung mantan Presiden Saddam Hussin oleh
desakan barat pada hari keesokannya umat islam menyambut hari raya
qurban! Sdr Yusuf menyedarinya, Amerika Syarikat, siapa lagi? Dunia
sekali lagi mengalah kepada tekanan barat dan islam itu berulangkali
dipalit dengan arang. Kemudian sdr Yusuf menerangkan muslihat2 barat
dengan gaya puisinya pada rangkap kedua dan ketiganya. Dan bagi
saya, usaha sdr Yusuf untuk menanggalkan puisi imej cinta (maksud
saya cinta yang luas pengertiannya dan bukan sekadar percintaan
lelaki dan perempuan semata2) pada kebiasaannya sungguh
menggembirakan saya dan juga kerana saya tahu sdr Yusuf mempunyai
gayanya tersendiri untuk mengupas kemelut dunia semasa.

Saturday, December 23, 2006

TENTANG PESANAN TARDJI PADA YUSUF














TENTANG PESANAN SZI PADA YUSUF




Syabas dan tahniah, inilah kerja untuk masa kini dan
masa depan. dengan
nama fansuri di hujungnya meyakinkan kita, tokoh
bangsa bermula dari
sejarah panjang. tentu saja,. diUitm dulu tidak
sepenuh ikut kuliah
sastera, atau orang sastera tidak kuliah sepenuhnya
dengan pemasaran dan
cyber... dan anda telah menggabungkan sastera dengan
multimedia, sekali kak
siti amat bangga dengan kerja anak muda begini. emel
lain (di studio )
boleh gunakan juga:galerimelora@hotmail.com.
salam dari bangi
szi.




Lakaran Wajah Yusuf Fansuri
Oleh Siti Zainon Ismail

Thursday, December 21, 2006

TENTANG YUSUF OLEH ZACHMANAN




Lahirnya Seorang Penyair
karya Zachmanan

bermain api, seringkali

seringkali, terbakar diri

tak pernah ngeri, seringkali

Sajak pendek ini tersiar di laman blog penyair muda Yusuf Fansuri (dari blog ‘Puisi Fansuri’). Biarpun hanya mengandungi sepuluh patah perkataan, ia menepati tafsiran Samuel Taylor Coleridge yang mengatakan “puisi adalah kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik” . Namun itu sajakah yang dapat ditawarkan oleh penyairnya? Apakah kekuatan sajak pendek ini ? Bagaimanakah harus kita menanggapi sajak seperti ini? Soalan demi soalan pasti akan menerjeh pemikiran khalayak. Sajak pendek ini hanya satu contoh daripada berpuluh sajak Yusuf Fansuri yang mempunyai pola pengucapan yang sama. Saya teringat sebuah lagi puisinya yang pernah diulas oleh Penagunung yang berjudul ‘Berahi Peluru Hidup’ yang kira-kira berbunyi :

Berahi Peluru Hidup !

membenam ke dalam aku !

Cedera Yang Bahagia

Penagunung mengatakan, “Sajak yang pendek tetapi segar pengucapannya. Ia pendek [jumlah kata cuma 10] tetapi mampu membuka ruang perenungan yang tinggi. Yusuffansuri nampaknya lebih mempunyai kesedaran untuk pemilihan kata yang intensif dengan tidak mengabaikan wacana yang telah direncanakan sedemikian rupa supaya kelihatan melakukan penyimpangan atau deotomatisasi – [ yang biasa, yang normal, yang automatik dibuang, yang dipakai harus khas, aneh, menyimpang, luar biasa ; Victor Shklovsky , Erlich ]”

Dua puisi itu sebenarnya sudah cukup menimbulkan satu letusan perasaan didalam diri saya untuk cuba meneliti warna, gerak dan rasa seorang penyair muda daripada suku-sakat Angkatan Pengkarya Indie (API) itu. Untuk ini,saya teringat sebuah lagi petikan daripada kritikus sastera tersohor A. Teeuw, “ membaca karya sastera menuntut pembaharuan diri yang terus-menerus, penyesuaian diri dengan sistem konvensi yang tidak pernah stabil, menghendaki kehalusan budi dan setiap kali bersedia untuk membuka diri bagi kejutan dan penyimpangan yang membingungkan.”

Barangkali itulah yang harus saya dilakukan- “membuka diri bagi kejutan dan penyimpangan yang membingungkan”.

Apabila menelusuri pengkaryaan Yusuf Fansuri (daripada beberapa antologi ‘underground’ seperti ‘Edan Waktu Kasmaran’, 'Kembali Kepada Tuhan',‘Tubuh Bercinta’ dan ‘Tubuh-tubuh Bercinta’) saya tergugah akan kecenderungan penyair muda itu memanipulasikan unsur inversi sehingga ke satu tahap yang saya percayai terlalu ekstrem pemanipulasiannya itu. Inversi bukanlah unsur yang asing bagi sesiapa yang telah lama menulis puisi. Definisi Encyclopedia Britannica meletakkan unsur inversi sebagai “pembalikan sintaktik dalam susunan normal kata-kata ataupun frasa didalam sesebuah ayat. Contohnya didalam bahasa Inggeris; perletakan adjektif selepas kata benda ('the form divine'), kata kerja sebelum subjek ('came the dawn') ataupun kata benda mendahului preposition ('world between'). Saeorang penyair terkemuka barat Emily Dickinson mempunyai kecederungan untuk menyusun kata-kata di luar kebiasaannya. Di dalam sajak ‘Chartles’s beliau menulis, “Yet know I how the heather looks (sepatutnya “Yet I know…” )dan “Yet certain am I of the spot (sepatutnya “ Yet I am certain…” )

Sementara di dalam sajak Humbert Wolfe ‘Love In Jeopardy’ terdapat pembalikan yang pelik tetapi logic seperti berikut : “ here by the rose/ they planted once/ of love in jeopardy/ an Italian bronze” yang pada susunan kebiasaannya ia berbunyi, “once upon a time they erected (planted) a bronze figure named 'Love In Jeopardy' (or Danger)” Penggunaan inversi oleh kedua-dua penyair itu menjadikan karya mereka berada di luar daripada dunia realiti kita. Namun dalam aspek lebih penting, penggunaan inversi juga memindahkan keutamaan kata-kata kepada yang lebih mustahak yakni mendinamiskan lagi sari kata-kata. Lihat pada contoh ini : Dalam resah

Kita bertemu

melerai cuba

Simpul gelisah

Seperti di dalam petikan rangkap sajak ‘Dan Berlalu’ di atas (dari blog ‘Lagu Makhluk Asing Timoer Jauh’) , penggunaan inversi dikesani pada baris ketiga ‘melerai cuba’ yang mana penyairnya cuba mengalih kepentingan maksud kepada perkataan 'cuba'. Ertinya yang diberi tekanan dinamis ialah 'percubaan ' atau 'usaha' yang dilakukan untuk melerai simpul gelisah itu. Ini ialah satu contoh kebijaksanaan penyair dalam menyampaikan maksud puisinya. Unsur inversi ini barangkali membentuki sifat dan sikap penyairnya.

Bersumberkan latar hidup yang keras tantangan intelektual membuatkan kejiwaannya aktif di luar kotak konvensi, tidak mudah menjadi conformist (penurut) ataupun sekadar pengikut membabi-buta, sering cuba melihat opportunity baru yang boleh diterokai biarpun ia menyonsang arus perdana. “ Nilai estetik kata didalam sajak itu biasanya merujuk kepada intuisi atau kepekaan dan pengalaman seorang penyair sehingga mampu menciptakan pengertian kata dalam dimensinya yang baru “Titon Rahmawan [Galeri Karya, Cybersastra] Sehubungan ini, inversi menjadi satu penyataan welschastauung (world view) penyairnya yang pada akhirnya menjadi sandaran ataupun kekuatan kepenyairan Yusuf Fansuri !

Pada pandangan saya puisi-puisi Yusuf Fansuri berada dalam lingkungan ‘predominantly intuitive, imaginative and synthetic’ Herbert Read, suatu yang baru, barangkali ?

Namun dalam konteks kita, sesungguhnya unsur inversi ini sebenarnya bukanlah unsur yang begitu besar kesan penggunaannya. Barangkali sesetengah sasterawan akan mengatakan, “whats the big deal. Its no big deal !” yakni ia hanyalah sekadar pembalikan kata-kata daripada kebiasaannya. Namun di tangan Yusuf Fansuri, unsur tersebut telah memberikan satu dimensi pengucapan unik dan segar baginya (dan juga bagi sastera tempatan) kerana ia digunakan dengan begitu kreatif sekali. Lihat contoh yang satu ini :

Guris kecewa terasa

pedih masih

luka, cuba meraba

curiga pecah berderai kaca

tanganku berdarah cinta

('Guris' daripada 'Edan waktu Kasmaran')

Ya, sebegitu baik sehingga Yusuf Fansuri mampu menjadikannya sebagai satu bentuk seni (baca:pengucapan, ekspresi) yang otentik, menjadikan puisinya lain daripada yang lain, menjadikan kepenyairannya unik dan berkeperibadian. Barangkali inilah maksudnya apabila Yu Huang (novelis kontraversial China itu) mengatakan bahawa “ a genuine writer writes solely from the inner most heart” Saya lebih suka merujuk aspek ‘the inner most heart itu sebagai ‘batin’, ‘sanubari’, ‘sukma’. ‘nurani’, ‘ jiwa’ atau nuansa yang lebih bermakna ialah ‘roh’.

Teringat saya beberapa waktu dahulu, Yusuf Fansuri pernah menyatakan ingin berhenti menulis puisi hanya disebabkan beliau buntu ilham. Saya hanya menyarankan agar dia kembali kepada dirinya dan mulai membongkar kemampuan lain. “Memandang matahari dari satu sudut, memandang manusia dari segenap segi,” saya memetik kata-kata Rendra sebagai motivasi. Semenjak itu dia tidak berhenti bereksperimen dengan’ inner most heartnya’, membongkar lubuk kreativiti paling dalam yakni kemungkinan lain di dalam diri (sumur tanpa dasar itu).

Benar seperti apa yang dinyatakan Rendra,"peribadi kreatif selalu merasa perlu untuk menilik dan memperbetul diri. Dia perlu mencipta suasana terbuka di dalam jiwanya sehingga dia bisa melakukan pembetulan diri. Pembetulan seperti itu tidak cukup dengan kritik oleh diri sendiri tetapi juga daripada orang lain. Kritik dan pembetulan ini sangat ditakuti oleh peribadi yang mekanis, namun merupakan sarana yang utama bagi peribadi yang kreatif"

Sehingga ke hari ini Yusuf Fansuri masih lagi giat dalam proses, proses dan proses mematangkan dirinya!

Sebagai penulis, Yusuf Fansuri telah lama wujud di persada sastera tempatan ini seperti juga penulis lain. Diakui beliau memang telah agak lama juga bergelut di dalam dunia sastera Darul Hana ini terutama melalui pergerakan ‘underground’ API. Perkembangannya cukup memberangsangkan- tahun 2000 dihantar ke Perhimpunan Penulis Melayu SeNusantara di Batam, sekembalinya dari Batam menubuhkan Ikatan Karyawan Sarawak (selepas itu API), tahun 2005 beliau diiktiraf didalam Hadiah Penghargaan Sastera Sarawak melalui sajak ‘Ramadhan’ dan pada waktu itu jugalah beliau mengedarkan antologi ‘underground’ pertamanya berjudul ‘Edan waktu Kasmaran’, memperkenalkan kepada khalayak sastera akan pengucapan mutakhir daripada dirinya, sesuatu yang unik dan tulen.

Ketika itulah Yusuf Fansuri sebenarnya baru melangkah (baca:layak bergelar) sebagai seorang penyair dengan kredo keseniannya yang berpaksikan inversi itu dan kerana itu puisinya tiada bandingan dengan penulis lain yang seangkatannya hanya kerana ia datang daripada jiwa yang berakar umbi daripada dirinya, sesuatu yang berkeperibadian. Seperti mana juga ketika Sutardji mengumumkan kredo keseniannya : ”Kata-kata bukanlah alat mengantarkan pengertian. Dia bukan seperti pipa yang menyalurkan air. Kata adalah pengertian itu sendiri. Dia bebas.... Bila kata telah dibebaskan, kreativitas pun dimungkinkan.... Menulis puisi bagi saya adalah membebaskan kata-kata, yang berarti mengembalikan kata pada awal mulanya. Pada mulanya adalah Kata. Dan, kata pertama adalah mantra.

Maka, menulis puisi bagi saya adalah mengembalikan kata kepada mantra.” Hari ini genaplah niat untuk memperkatakan tentang seorang penyair yang saya kenal. Lalu dengan berlangsungnya penyiaran rencana ini, maka sempurnalah sebuah proklamasi tentang kelahiran seorang penyair di bumi Sarawak Darul Hana. Seorang penyair yang diharap dapat membawa cabaran kesusasteraan Sarawak ke peringkat lebih tinggi, bukan dengan karya yang mengkal tetapi sebuah bentuk pengucapan unik, segar dan tulen yang kelak akan menjadi warisan kebanggaan dunia sastera Sarawak, ‘keterbalikan Yusuf Fansuri’

Tiadalah sebesarMu

diterbang aku

oleh angin

('Debu' daripada 'Kembali Kepada Tuhan')

Lahirlah seorang penyair!

U/P Artikel ini telah tersiar di dalam akhbar berpengaruh Utusan Borneo pada bulan yang lalu! Terima kasih Sdr Zachmanan