Sebuah Karya
Yusuf Fansuri
PELURU:PLOT KETERBALIKAN
Tatkala takbir memuji
segala kebesaran di langit
dan di bumi, kita dikejutkan
dengan sebuah berita tentang
kembalinya seorang manusia
ke ribaan tuhan dengan cara
keadilan songsang.Seterusnya
disergah tanda tanya antara
jawapan penuh ilusi dan realiti
cuba menyusun silang kata
untuk mencipta perkataan
demi melengkapkan kitab baru.
Kita terbawa-bawa dengan dalih
dan muslihat kabal-kabal orientalis
menterjemah makna dan simbolis
yang hakikatnya sudah lama tahu
tafsir tersirat dan tersurat. Dari dulu
hingga detik kini masih melayan
imej wayangan yang seringkali jadi
siaran ulangan di layar fikiran.
Acapkali kita cuba dikelirukan
dengan fakta plot keterbalikan.
Acapkali kita cuba disogokkan
dengan nombor-nombor kabur.
Acapkali kita juga gagal menyelusuri
simpang siur sejarah masa lalu
Acapkali kita juga bebal mengunyah
sebaliknya memilih mengemam jadam.
Saat kita memerlu ikatan padu
dalam kesatuan jitu kita masih
memisah antara Ahlil Sunnah dan Syiah
dan segera lupa pada empunya
yang sepatutnya disembah!
sajak dipetik dari blog:http://www.puisifansuri.blogspot.com
ULASAN OLEH SDR ROSLAN JOMEL
Peluru: Plot Keterbalikan, Menerbangkan teks puisi daripada persembahan kata2.
Sebagai penulis muda yang pelbagai jurus pembacaannya, pemerhatian
sdr Yusuf mengajak pembaca menoleh leher ke blok wilayah Arab yang
sentiasa digelorakan oleh seribu konflik. Tidak pernah aman dunia
ini nampaknya. Dan itulah realiti. Walaupun penyair tidak pernah
ditugaskan untuk melangkah ke hadapan menyarung but tinggi dengan
mengepit beberapa helai manuskrip puisi sebagai pengaman atau
mengibarkan kain putih ke muka pihak yang bertentangan, tetapi
naluri kemanusiaan dan kepekaan seorang seniman, membawa kesedaran
yang lain bentuknya. Senyap dan merayap dengan renungan hidup,
berlawanan dengan keperitan di badan yang ditembak oleh manusia2nya
sendiri. Sdr Yusuf membawa kaca jernih untuk kita sebagai pembaca
menilai bahawa hidup ini untuk apa selain berbunuhan? Dan kerana
puisi itu sendiri juga tidak akan mengubah dunia ini, sdr Yusuf
mengejek dengan sinikal akan selubung gelap yang membaluti dua puak
mazhab di dalam negara yang sama. Mengapa islam harus dipenjarakan
oleh pegangan yang mentradisi ini sedangkan Tuhan yang disembah
adalah Tuhan yang sama?. Itulah persoalan besar yang sdr Yusuf
tinggalkan kepada pembaca2 puisinya. Jadi, apakah yang kita harap
daripada baris2 puisi ketika dentuman peperangan melintas di kaca
skrin televisyen kita? Sdr Yusuf mengerti dan dia memilih baris
puisi sebagai penyataan seorang seniman dan kesedaran halus
kemanusiaannya untuk menyindir dunia dan manusia2 modennya.
Tetapi sdr Yusuf memulai baris puisinya dengan keputusan untuk
menjatuhkan hukuman gantung mantan Presiden Saddam Hussin oleh
desakan barat pada hari keesokannya umat islam menyambut hari raya
qurban! Sdr Yusuf menyedarinya, Amerika Syarikat, siapa lagi? Dunia
sekali lagi mengalah kepada tekanan barat dan islam itu berulangkali
dipalit dengan arang. Kemudian sdr Yusuf menerangkan muslihat2 barat
dengan gaya puisinya pada rangkap kedua dan ketiganya. Dan bagi
saya, usaha sdr Yusuf untuk menanggalkan puisi imej cinta (maksud
saya cinta yang luas pengertiannya dan bukan sekadar percintaan
lelaki dan perempuan semata2) pada kebiasaannya sungguh
menggembirakan saya dan juga kerana saya tahu sdr Yusuf mempunyai
gayanya tersendiri untuk mengupas kemelut dunia semasa.
No comments:
Post a Comment