Saturday, April 28, 2007

TENTANG TEORI


Salam....

Terima kasih di atas refleksi saudara-saudara mengenai topik " Bukan Terlalu Peribadi" di dalam Laman Energi Cintakasih ini. Ramai yang cukup teruja dengan isu terbabit dan banyak pendapat-pendapat yang bernas telah diperturunkan. Hujah-hujah yang bijaksana daripada pemikir-pemikir sastera Darul Hana.

Dari Sdr Pena Alam, yang bijak dengan ketajaman simpulan bahasa. Ternyata bahasa melayu masih boleh bertahan untuk menyampaikan maksud yang cukup penting dan bermakna.

Dari Sdr Dr Ghostiq, yang punya diri yang cukup mistik. Bermain dengan rekayasa dan jungkir balik kata-kata. Yang boleh membaca retorika seorang pencuri.

Dari Sdr Armiza, yang bersemangat APi yang turut membakar kata-katanya sama sekali. Tempiasnya ibarat tsunami, mendabrak dalam kelembutan satu-satunya mawar dalam dikelilingi duri APi.

Dari Sdr/Sdri Citrasukma, penuh adab sopan, santun menutur bahasa, halus menyulam kata. Saran yang membina dan hujah yang membara. Nasihat berlapitkan sutera dalam perjalanan mencari rama-rama.

Dari Sdr. Roslan, yang lebih mengerti dan memahami dunia seni yang penuh hadangan dan halangan dari benua jauh. Sesekali hadir dengan ketelitian pemerhatian dan membuka huraian penuh makna.

Terharu dengan respon anda semua. Nun di sudut hati saya betapa anda semua cukup menyayangi dunia sastera Darul Hana. Keperihatinan anda adalah kunci laman ini. Masih ada ruang-ruang tertentu untuk berbincang dan membuka peluang untuk para seniman berinteraksi. Walaupun jurang ilmu berbeza tetapi anda semua mencintai BAHASA dan SASTERA, berbicara senada.

Kembali kepada lontaran tajuk Teori Bongkah Ais yang menjadi subjek kepada mesej saya. Bukan cuba berteori selaksa cuma cuba berkongsi ilmu seadanya di dada.

Bukan masalah artikel tersebut terlalu peribadi! Bukan masalah Sdr Zach2bach gagal menembusi arena kampungan! Bukan masalah unsur kekaguman Sdr Zach2bach terhadap hasil cipta makhluk Yusuf Fansuri! Bukan cuba mencanang bakat tak seberapa seorang mahluk sastera! Bukan masalah APi dengan DBP per se! Bukan masalah Yusuf Fansuri suka bermain balang kaca dan tidak mahu mengejar rama-rama! Bukan masalah ke media perdana atau tidak! Bukan isu melatah tak tentu arah, darah muda!

Sebelum menulis artikel tersebut, sdr Zach2bach telah bertemu dan berbincang dengan saya secara peribadi. Banyak isu yang berbangkit cuba diperhalusi terlebih dahulu. Pada awalnya saya cuba menegah beliau untuk menulis tentang saya. Setelah berbincang dan memperhalusi idea,akhir kami berdua bercakap senada dan cuba memahami situasi yang berlaku dalam dunia sastera Darul Hana. Saya membenarkan beliau menulis hanya mengenai isi karya saya. Kerana bagi saya, siapalah saya dalam dunia "popular" sastera Darul Hana. Banyak lagi tokoh-tokoh maha hebat dunia sastera bumi Darul Hana.

Sebelum menghantar ke penerbit kami berdua kembali duduk berdiskusi menghalusi isi kandungan artikel tersebut. Hasil perbincangan dan penghalusan, akhirnya saya merelakan apa yang terkandung dalam artikel tersebut. Kerelaan saya sebenarnya atas dasar saya menghormati pendapat Sdr Zac2bach yang membuat saya cukup terkedu dan terharu. Kenyataan beliau adalah: KALAU TAK ADA ORANG LAIN NAK MENULIS PASAL ENGKAU, BIALAH AKU SAJA YANG MENULIS PASAL ENGKAU. AKU BANGGA KERANA ANDA MENJADI SAHABAT SAYA! KALAU KAWAN TAK CAKAP PASAL KAWAN, SIAPA LAGI? Begitulah ceritanya....

Dan bukan juga masalah sdr Zach2bach seorang jaguh kampung! Nyata beliau punya keistimewaan tersendiri dengan terbukti artikel-artikel beliau berjaya menembusi PENTAS, malah cerpen pertama beliau terbit dalam antologi Bicara Tanpa Suara terbitan KekWWA tanah semenanjung. Juga kita sedia maklum beliau merupakan penyumbang atau kolumnis setiap Ahad, Utusan Borneo di kampung Darul Hana.

Apa yang sdr/sdri ulas sebelum ini hanyalah puncak bongkah ais sahaja. Ada isu yang lebih besar dari apa yang sdr/sdr perturunkan. Jika sahabat-sahabat cukup teliti dan cuba menelaah sejarah sastera Darul Hana, anda mungkin akan menemui pertanda-pertanda tertentu mengenai kewujudan masalah yang lebih besar dalam tanah sastera Darul Hana. Walaupun di atas tanah kita bisa mengejar rama-rama atau suka bermain balang kaca, rama-rama itu hanyalah ilusi yang dilukis oleh pelukis-pelukis halimunan dan balang kaca hanya menunggu masa untuk pecah terhempas ke lantai.

Isu artikel tersebut hanyalah satu contoh kecil berbanding banyak contoh-contoh aneh yang lain yang lebih besar. Alasan tidak menyiarkan artikel tersebut kerana terlalu peribadi adalah "rubbish"! Tidak pernah kita terfikir bahawa kemungkinan sdr Zach2bach digam oleh agensi terbabit sepertimana yang berlaku dalam industri hiburan. Saya tidak terkejut jika ini berlaku kerana saya pernah berkongsi cerita bahawa ruangan sastera dan bahasa terlalu kurang penyumbang yang berminat. Tidakkah mungkin ramai penulis sudah tawar hati untuk menghantar artikel ke agensi terbabit kerana ada unsur-unsur peribadi.

Malah hampir berlaku perkara yang memalukan dalam arena sastera Darul Hana, sebuah artikel yang cuba mengaitkan laman Sastera Sarawak sebagai laman penyebar fitnah, hampir-hampir tersiar di dalam ruangan setiap hari Rabu. Entah bagaimana artikel yang nyata cuba menyerang secara peribadi laman sastera Sarawak boleh terlepas dari pandangan ketua editor? Namun tindakan manusia prihatin dan tinggi semangat kemanusiaan berjaya menyelamatkan keadaan agar tidak menjadi lebih rumit. Sehingga sekarang manusia tersebut masih anonimus!

Mungkin sdr Dahiri mempunyai pengalaman tersendiri! Lebih-lebih lagi berjaya memenangi hadiah drama baru-baru ini. Anda mungkin lebih mengerti? Mungkin juga sdr Roslan Jomel?

Nampaknya saya terlalu banyak menitip kata, mungkin juga terlanjur bahasa, mungkin juga cuba bersenda atau tidakkah termimpi oleh kita untuk mengusulkan sebuah Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kemunduran Bahasa Melayu di Malaysia?

Saya akhir dengan sebuah puisi pendek:

Sebuah Sajak

Yusuf Fansuri

TEORI BONGKAH AIS

tenggelamnya TITANIC

bukan kerana agam binaannya

berpunca segala hanya

dari seketul ais cuma

di dalam lautan terbenam

sejarah tak pernah berdusta

hanya manusia asalnya alpa

angkuh tinggi menjulang hasta

akhirnya tunduk menyembah

SANG PENGUASA!

Wallahualam....


DINASOUR SASTERA: REFLEKSI SDR. ROSLAN JOMEL

Salam.

Sebaik sahaja saya memegang buku Labryinth and Others Stories
karangan Jorge Luis Borges di dalam Bordes, Times Square. Saya
berlegar2 mencari bangku duduk. Hati saya senipis gelas. Dan fikiran
saya mudah tersentuh sebaik sahaja memikirkan apa yang telah ditulis
oleh sdr Yusuf sebagai jawabannya untuk menyimpul beberapa pandangan
rakan2 sastera di dalam laman SS. Jarang benar kita berhadapan
dengan sikap berterus-terang seperti yang telah dilakukan oleh sdr
Yusuf demi memajukan penulisan Sastera di Sarawak. Jawaban sdr Yusuf
nyaring. Dan kita sebagai rakan2 sastera di laman ini, tidak harus
menutup muka kerana berasa malu. Pendedahan sdr Yusuf adalah lambang
keberanian dan kebebasan pengucapan sasterawan dari generasi baharu.
Biarlah apa yang terpapar itu buruk kelihatan. Supaya kita sedar,
hidup itu sendiri tidaklah sebersih kertas A4.

Tanpa perlu berpura-pura, sdr Yusuf memecah blok kaca hitam.
Beberapa kepingan kacanya menikam ke dada kita. Inilah kenyataannya.
Blok kaca yang didirikan oleh tangan halimunan untuk mengurung
kreativiti subur. PENJARA kaca hitam itulah yang harus SEGERA kita
robohkan!Persoalan asas yang dibawa sdr Yusuf bukan kecil. Tetapi
memberat ke dalam. Bukan sekadar yang kelihatan di permukaan,
seperti yang ingin sdr Yusuf maksudkan pada imej bongkah ais. Apa
yang buruk selalunya terbenam di belakang dengan permainan
halimunannya. Itulah punca hambatan yang ingin dimaklum oleh sdr
Yusuf. Digambarkan penuh sinis oleh sdr Yusuf sebagai menyerupai
bongkah ais yang terapung cantik kebiru-biruan. Di bawah sedar, Sdr
Yusuf mengajak kita melihat dengan mata dalaman akan imej bongkah
ais tersebut.

Saya merenung sepintas lalu di rak buku. Memandang dengan sepasang
mata yang sayu ke beberapa kulit buku novel2 antarbangsa tulisan
seperti Kiran Desai, Jhumpa lahiri, Paulo Coelho, JM Coetzee mahu
pun Margaret Artwood. Apa yang telah dilalui oleh sdr Yusuf telah
terlebih dahulu pernah dirasai oleh saya. Kepada isu sebenarnya
Mengapakah Wujud Dinasour Sastera di Sarawak?

Saya mahu mengetepikan diri saya daripada dicengkam kuku Dinasour
tersebut. Kita biarkan Dinasour itu reput di dalam kurungan kaca
hitam binaannya sendiri. Lama kelamaan kewujudannya akan dilupai
oleh kebijaksaan kita. Pada suatu masa nanti, kita akan melihat
tinggalan tulangnya disusun dalam kurungan kaca dengan jelas. Hidup
itu luas. Bukan di hujung perintah manusia2 lain. Saya ingin hidup
positif. Membebaskan diri daripada kepungan mentaliti sang Dinasour
purba. Kejayaan sdr Dahiri sebagai penulis paling berjaya dari
Sarawak ke peringkat kebangsaan, memberi contoh terkini buat rakan2
penulis. Sudah tentu, kita tidak mahu membiarkan sdr Dahiri berjuang
sendirian di medan sastera kebangsaan.

Kita tidak perlu mencucuk Dinasour yang tidak kelihatan dengan
lembing. Perbuatan sebegitu hanya menampakkan kemarahan. Tetapi
dengan bakat dan kehebatan karya kita. Inilah senjata intelektual
akan kita tunjukkan ke muka Dinasour yang bersembunyi di dalam
kurungan kaca hitam binaannya itu. Saya amat percaya, Dinasour itu
akan muncul dan mengalah dengan muka menahan malu. Dunia itu luas
dan manusia2nya pelbagai. Menolak kepelbagai pemikiran adalah serupa
kita menolak realiti hidup itu sendiri.

Sekadar pandangan dari rakan pengunjung laman SS.


1 comment:

roslan jomel said...

Salam.


Terima kasih. Saya merasa setiap daripada kita di laman SS ini, wajar menghargai perbezaan pendapat dan pandangan masing2 demi menyuburkan kesusasteraan itu sendiri.