Wednesday, December 20, 2006

TENTANG SASTERA ERA MASA DEPAN

Sastera Era Masa Depan
Yusuf Fansuri
telah terbit dalam ruangan Yang Indah Itu Bahasa
Tajaan DBPCS

Saya baru selesai mengurus sebuah kursus jabatan pertanian di sebuah bandar kecil, Sarikei. Perjalanan merentas udara melalui angkasa Sibu dan kemudian melalui perjalanan darat ke Sarikei, cukup meletihkan. Tetapi pemandangan saujana hijau cukup pula melegakan mata . Pada petangnya pula saya sempat berlabuh di Waterfront Sarikei, menikmati pula pemandangan daun-daun nipah yang berjejeran sepanjang tebing sungai.

Sesekali kapal-kapal dagang dan bot ekspres, lalu lalang mengejutkan lamunan. Persoalan yang berlegar di fikiran ketika itu adalah “Bagaimana sastera era masa depan?”- frasa yang sering saya bincangkan seputar rakan-rakan yang cenderung dalam bidang sastera di negeri sewaktu kami bersantai minum. Apa yang akan berlaku dalam gejolak masa kini, 10 tahun akan datang atau 100 tahun mendatang? Pelbagai andaian yang kita boleh kita buat berdasarkan apa yang telah berlaku pada masa kini.

Tetapi kita tidak boleh membuat kesimpulan berdasarkan apa yang berlaku kini kerana pada masa akan datang perubahan corak pemikiran dan teknologi mempengaruhi juga iklim sastera. Mungkin kita hanya boleh bersandar fakta-fakta kecil semasa untuk meramal apa yang akan berlaku pada masa akan datang.

Sudah tiba masa orang sastera berfikiran ke depan dan jangan mudah tenggelam dalam arus nostalgia yang yang gelap dan penuh fantasi siang hari. Saya yakin dan percaya pada masa akan datang, iklim sastera akan berkembang luas seiring dengan perkembangan teknologi terkini.

Kebanyakan orang sastera menanggapi masa akan datang penuh kegusaran dan ketakutan. Ketakutan dan kegusaran itu adalah ciptaan diri mereka sendiri, orang sastera akan menjadi terasing dalam dunia baru.

Kerisauan dan ketakutan mungkin berdasarkan kepada perubahan sosial mahupun budaya kerana kegagalan kita memahami rangka untuk meramal apa yang akan berlaku. Kita takut mengeksplorasi dunia baru, cara berkarya baru dan sebagainya dan kesetiaan kita kepada rangka lama mengakibatkan kita takut mencuba.

Ketakutan-ketakutan yang dicipta oleh orang sastera sendiri secara langsung menghambat peluang sastera untuk terus berkembang. Lantas mudah melatah bahawa sastera kini berada di ambang tersisih, itu merupakan andaian yang mudah dan malas. Keupayaan untuk memahami kehendak masa akan datang boleh membuka beberapa peluang yang kita tidak ketahui sebelum ini.Kita masih belum terlambat untuk berubah dan tiada istilah terlambat untuk melakukan reformasi. Untuk berubah kita harus mesra dengan teknologi.

Kita telah memasuki era “siber”, satu sistem budaya baru dan perhubungan terkini. Teknologi baru akan mencipta rangkaian kemanusiaan yang baru dan akan memansuhkan yang lama. Teknologi berkomputer secara drastik telah merubah cara kita berkerja dan seharusnya juga cara kita berkarya atau ketrampilan berkarya. Ini membolehkan pasaran sastera seharusnya lebih luas dan mencabar, isu sastera akan terpinggir tidak akan timbul di sini.

Cabaran-cabaran yang mendatang akan lebih mengugah para seniman mahupun sasterawan. Persoalan yang masih tinggal berlegar kepada seorang seniman atau sasterawan itu adakah mereka bersedia kepada kepada perkembangan baru ini? Corak karya seharusnya berubah, mesej karya harus menuruti zaman yang serba pantas. Tiada ruang kompromi untuk berdolak dalih dengan khayalak yang lebih bijak dan pintar itu.
Apakah sasterawan atau seniman itu mahu dilihat sebagai satu ikon yang ketinggalan zaman atau pencabar masa depan? Khalayak yang lebih bijak dan genius itu mudah sahaja untuk mentertawakan seniman mahupun sasterawan yang hanya mampu bijak beretorik. Sasterawan atau seniman harus bijak memanipulasikan karya mereka untuk tatapan masyarakat yang bijak pandai itu.

Jangan bermimpi untuk memperbodohkan atau memperlecehkan khalayak sastera yang mendatang, kalau berlaku demikian sastera kita masih berada di tahap statik malah dilihat semakin mundur atau undur. Melihat sastera pada masa akan datang seperti melihat sinar matahari pada waktu pagi. Begitulah, dengan kapasiti sebagai seniman atau sasterawan, seni dan sastera masih tetap menjadi tulang belakang sesebuah bangsa dalam mengharungi pelbagai kemungkinan pada masa depan.

Sebagai rumusan kepada pendapat di atas sastera akan tetap menjadi satu elemen yang penting dan relevan untuk membentuk sahsiah bangsa. Kalau bahasa itu merupakan jiwa bangsa maka sastera pula adalah merupakan raganya pula. Semakin majunya sesuatu bangsa itu semakin mengakarlah budaya dan seni mereka.

Rumusan yang kedua pula, era kemodenan tidak akan meminggirkan sastera itu tetapi ia berlaku sebaliknya jika kita mampu memanfaatkan teknologi tersebut menjadi mesra pengguna. Teknologi pula sepatutnya menjadi penanda aras terhadap isi dan kandungan sastera itu. Sastera seharusnya lebih rencam dan canggih dengan bantuan teknologi yang terkini.

Rumusan yang terakhir pula, seniman atau sasterawan itu harus seiring dengan kemajuan dan perkembangan semasa. Isi karya haruslah lebih mencabar dan unik, mesej yang lebih universal atau global sifatnya dan bukan hanya mampu menawan khalayak dengan indah bahasa tetapi kosong makna. Seniman atau sasterawan itu seharusnya lebih bijak daripada khalayak, kalau tidak mahu dianggap syok sendiri. Paling buruk khalayak akan membakulsampahkan karya seseorang seniman atau sasterawan itu jika ia menunjuk pandai tanpa penjernihan yang baik.

No comments: